Dalam era globalisasi ini, terdapat pelbagai makanan dan hidangan yang lazat dapat ditemui di bumi Malaysia. Antara juadah yang yang menjadi kebanggaan Malaysia yang tersendiri ialah makanan tradisinal.
Makanan tradisional di Malaysia mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri yang tidak dapat disangkal lagi. Makanan tradisional di Malaysia sememangnya menjadi warisan turun temurun yang harus dikekalkan agar dapat dirasai oleh generasi yang akan datang.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa makanan tradisional Malaysia begitu dikenali masyarakat di seluruh dunia seperti di Perth, London, Indonesia, Singapura dan banyak lagi yang begitu menggemari rasa makanan tradisional kita. Bagaimanakah cara untuk mempromosikan makanan tradisional agar ia makin dikenali ramai?
Sudah terang lagi bersuluh bahawa media massa memainkan peranan yang utama dalam mempromosikan makanan tradisional di mata dunia. Dengan mengiklannya dalam majalah, buku, televisyen dan media sosial, dapat meningkatkan reputasi serta menaikkan nama makanan tradisional.
“Tak kenal maka tak cinta.”
Peribahasa di atas menunjukkan bahawa jika sudah mengetahui akan sesuatu barulah akan menimbulkan rasa suka. Oleh itu, ibu bapa berperanan memperkenalkan makanan tradisional kepada generasi muda agar mereka dapat mengekalkan tradisi serta mempromosikan makanan tradisional pada masa yang akan datang.
Benarlah bahawa usaha anak-anak muda juga memainkan peranan yang penting dalam memperkenalkan makanan tradisional.
Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan dengan perasaan sayang akan makanan tradisional yang kuat dan dipupuk, generasi muda dapat menjadi usahawan yang dikenali di mata dunia di samping mengiklankan makanan tradisional.
Dengan perkataan lain, kita boleh membuka kedai atau restoran makanan tradisional yang mempromosikan pelbagai makanan tradisional warisan Malaysia yang datang daripada pelbagai jenis kaum.
Sebagai mana yang kita ketahui, kaum Melayu terkenal dengan makanan seperti nasi lemak dan apam balik.


Bukan itu sahaja, kelazatan makanan tradisional yang menjadi kebanggaan kaum Cina dan India seperti roti canai juga tidak kalah uniknya dan sememangnya digemari masyarakat seluruh dunia.
Kita sering menonton di kaca televisyen bahawa sejak kebelakangan ini semakin banyak restoran makanan tradisional dibuka di luar negara. Hal ini penting dalam mempromosikan makanan tradisional kita. Contoh restoran berikut seperti Restoran My Rasa di Perth yang dibuka oleh Encik Jamal dan isterinya.
Seperti yang dinyatakan di atas, restoran tersebut telah memperkenalkan makanan seperti mi rebus Johor, sate, cendol dan banyak lagi. Ini tentu sekali membuatkan keunikan dan tarikan makanan tradisional kita semakin berkembang.

Selain itu, pada masa ini juga terdapat sebuah lagi kedai yang terkenal dengan makanan tradisional Malaysia.
Kedai yang diberi nama Kafe Rasa Malaysia yang dibuka di London tersebut diasaskan oleh Puan Noor Azlina binti Zainal Abidin yang berasal dari Pulau Pinang.
Kafe ini menyediakan menu kegemaran rakyat Malaysia yang membuat pelanggan rambang mata seperti roti jala, asam laksa Pulau Pinang, martabak daging, kuih-muih dan banyak lagi. Hiasan dalam kafe dan konsep kedai kopi di Malaysia menarik minat para pelanggan dari dalam mahupun luar negara untuk singgah dan merasai sendiri keunikan dan keenakan makanan tradisional Malaysia.

Maka jelaslah bahawa sekiranya semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, sudah tentu usaha untuk mempromosikan makanan tradisional Malaysia ke mata dunia tercapai.
Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, marilah kita sama-sama bersatu bagai aur dengan tebing serta dengan keizinan Tuhan yang maha esa, kita yakin dan percaya bahawa makanan tradisional warisan nenek moyang dapat dikekalkan dan tidak akan lapuk ditelan zaman.
